PETALING JAYA: Pemandu Nissan Navara yang merempuh pasangan suami isteri menunggang motosikal di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Sabtu lalu disahkan bukan pemilik kenderaan terbabit.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, dalam satu kenyataan ringkas mengesahkan perkara itu.
Menurut beliau, proses sambung reman suspek akan dijalankan hari ini dengan kertas siasatan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
“Hari ini dalam proses sambung reman dan seberapa segera akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut.
“Pemandu kenderaan dalam kejadian itu bukan pemilik kenderaan terbabit,” katanya tetapi tidak mengulas lanjut.
Kata Zamzuri, mangsa wanita yang juga pembonceng motosikal masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Semalam, polis menahan seorang pemandu kereta pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan membabitkan pasangan suami isteri menaiki motosikal berkuasa tinggi sebelum Plaza Tol Duta menghala ke pusat bandar pada 2.30 petang, Sabtu lalu.
Penunggang motosikal yang juga lelaki berusia 53 tahun mengalami retak tulang selangka dan luka pada bahagian buku lali, manakala isterinya yang membonceng motosikal berkenaan mengalami kecederaan serius.
Wanita berusia 49 tahun itu mengalami kecederaan patah buku lali dan tulang rusuk kanan serta pendarahan dalam otak akibat pelanggaran itu, dan kedua-duanya sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh
Sebelum itu, tular di media sosial klip video berdurasi satu minit memaparkan sebuah kereta pacuan empat roda melarikan diri selepas melanggar motosikal dinaiki pasangan suami isteri terbabit.