PETALING JAYA: Pemandu pikap Nissan Navara yang disyaki terbabit kemalangan langgar lari sebelum Plaza Tol Duta, di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) semalam sudah ditahan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, suspek seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun direman dua hari.
“Individu terbabit sebelum itu telah hadir membuat laporan polis pada hari yang sama kira-kira pukul 6.55 petang.
“Susulan siasatan, permohonan reman telah dibuat dan suspek kini ditahan selama dua hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, siasatan mendapati nahas berlaku pukul 2.30 petang membabitkan pikap berkenaan dengan motosikal mangsa.
Sejurus tiba di lokasi kejadian, suspek cuba memotong sebuah motosikal lain namun gagal mengelak motosikal mangsa lalu melanggar bahagian kanan kenderaan berkenaan.
“Penunggang merupakan lelaki berumur 53 tahun mengalami retak tulang selangka dan luka di bahagian buku lali, manakala isterinya berumur 49 tahun mengalami pendarahan di kepala, patah buku lali dan tulang rusuk kanan.
“Kedua-dua mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut, manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
“Orang awam yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Farhad Kamaruddin di talian 011-31903054,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial paparan sebuah motosikal dilanggar pacuan empat roda sebelum kenderaan terbabit dilihat berlalu meninggalkan lokasi kejadian.