Zakaria Kamantasha, 57, menanggung kerugian hampir RM200,000 akibat banjir di Kampung Lintang, Belantek, Sik, yang dipercayai berpunca daripada aktiviti pembalakan di Hutan Simpan (HS) Ulu Muda.
Pengusaha padi organik itu mendakwa kejadian banjir di kawasan sawah diusahakannya sejak 14 tahun lalu, semakin buruk pada 2021 apabila dua hektar padi miliknya musnah.
“Sawah yang saya usahakan bergantung sepenuhnya dengan air Sungai Muda. Sejak 2021, banjir di Sik semakin buruk apabila turut membawa puing seperti pasir, batu dan kayu. Padi yang sepatutnya boleh dituai dalam tempoh seminggu musnah begitu saja.
“Keadaan sawah juga teruk apabila turut dipenuhi pasir, batu dan serpihan kayu, menyebabkan saya terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk membersihkan sawah. Pada 2021 saya kerugian hampir RM180,000,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Sebelum ini, Rimba Watch mendakwa kegiatan pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda menyebabkan Tasik Muda yang menjadi sumber air utama kepada pengguna Pulau Pinang dan Kedah, mengalami masalah mendapan selut.
Kajian dilakukan melalui pemantauan imej satelit mendapati Tasik Muda mula mengumpul mendapan selut sejak Mac tahun lalu dan semakin membesar pada Oktober lalu.
Zakaria berkata, pada 2022, kejadian sama turut berlaku dan dia terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk membaik pulih pagar dan kemudahan lain berikutan kawasan sawah itu juga menjadi institut pendidikan untuk pelajar dari seluruh dunia belajar mengenai tanaman padi organik.
Katanya, dia juga terpaksa menangguh proses tanaman padi organik beberapa kali akibat banjir yang berlaku antara Ogos dan September lalu.
Sementara itu, nelayan tasik, Ahmad Nasir Abdullah, 58, pula mendakwa pendaratan ikan oleh nelayan di Tasik Gubir semakin berkurangan sejak akhir-akhir ini berikutan keadaan air tasik yang tidak menentu.
“Dua minggu lalu saya tahan 15 pukat, tetapi hanya seekor ikan terperangkap kerana keadaan air Sungai Muda yang agak keruh mungkin menyebabkan ikan lari ke tempat lain.
“Saya tak pasti hendak kaitkan kejadian itu dengan aktiviti pembalakan sepenuhnya, tetapi apabila air keruh memang sukar untuk menangkap ikan.
“Selalunya saya boleh dapat hingga 30 kilogram ikan, tetapi sekarang semakin berkurangan dan terpaksa buat dua kerja dengan menoreh getah untuk menampung kehidupan,” ujarnya lagi.
Berita Harian melaporkan, Ahmad Nasir yang sudah 30 tahun menjadi nelayan berharap aktiviti pembalakan di Ulu Muda perlu dikawal kerana ia memudaratkan ekosistem alam, apatah lagi ramai penduduk di Kota Aur, Sik menjadi nelayan tasik.
Baca juga: