Pembangkang, adakah anda cadang subsidi tanpa had? – Mahfuz

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Melabelkan langkah Kerajaan Madani berkait penyelarasan diesel sebagai bom jangka inflasi disifatkan sebagai tidak tepat dan mengelirukan, kata Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar.

Ujarnya kritikan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman bahawa langkah penyelarasan diesel sebagai “bom jangka inflasi” adalah tidak tepat dan mengelirukan.

“Ia merupakan retorik tanpa asas yang gagal menggambarkan pendekatan sebenar kerajaan dalam menangani isu berkenaan.

“Langkah ini tidak dilaksanakan secara menyeluruh tanpa kawalan, sebaliknya disertakan dengan mekanisme perlindungan bagi memastikan bekalan mencukupi serta ketirisan dapat dibendung,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Mahfuz turut menolak dakwaan bahawa Kerajaan Madani tidak telus dalam langkah mitigasi, sebaliknya menegaskan beberapa pendekatan konkrit telah dilaksanakan.

Antaranya, harga RON95 kekal pada paras RM1.99 seliter, hampir 90 peratus rakyat tidak terjejas, selain golongan pekerja seperti pemandu e-hailing terus menerima perlindungan.

Tambah beliau, kawalan terhadap diesel juga diperketat bagi mengekang aktiviti penyeludupan yang memberi kesan kepada ekonomi negara.

Pada masa sama, beliau mempersoalkan kecenderungan pembangkang mengulangi naratif populis tanpa mengemukakan pelan penyelesaian yang jelas.

“Adakah mereka mencadangkan subsidi tanpa had? Jika ya, dari mana sumbernya? Adakah mereka bersedia menambah hutang negara atau mengurangkan perbelanjaan penting?” soal beliau.

Menurutnya, penggunaan istilah seperti “bom jangka” mungkin menarik perhatian, namun tanpa cadangan realistik, ia tidak membantu rakyat.

“Kerajaan, katanya, tidak menafikan wujud tekanan global, namun pendekatan yang diambil adalah untuk mengurus risiko secara terkawal, bukannya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

“Dalam keadaan dunia yang tidak menentu, negara memerlukan kepimpinan bertanggungjawab, bukan naratif yang mengelirukan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat