Pembangkang hanya cipta ketegangan, dakwa Islam terancam di Selangor

PETALING JAYA: Dakwaan pihak pembangkang bahawa Islam terancam di Selangor disifatkan sebagai naratif jahat yang mencipta ketegangan dan mengadu domba dengan sentimen agama, kata Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, menegaskan bahawa isu yang diutarakan oleh pembangkang adalah berulang kali dimainkan sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, ia termasuk isu sekolah agama yang diberi notis oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menurutnya, tindakan tersebut didakwa memberi ancaman terhadap agama dan menyebabkan penutupan institusi berkenaan.

Danial menjelaskan bahawa PBT dan agensi kerajaan yang terlibat hanya melaksanakan tugas berdasarkan skop dan bidang kuasa yang ditetapkan.

“Selangor merupakan negeri yang matang dalam urusan pentadbiran dan pengurusan serta tidak mungkin pegawai kerajaan menjalankan tugas mereka berdasarkan arahan pihak luar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Danial turut membangkitkan perkara tersebut di Dewan Negeri Selangor (DNS) pada Khamis, sambil menekankan beberapa inisiatif penting yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk memartabatkan Islam.

Beliau berkata, antaranya, peningkatan kualiti institusi agama dengan menaik taraf sebanyak 20 buah masjid kariah menjadi masjid pengurusan sebagai pengiktirafan terhadap peranan penting institusi agama dalam masyarakat.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga mengembangkan pusat perkembangan agama Islam menerusi pembangunan kompleks Pusat Perkembangan Agama Islam Negeri Selangor yang akan memperluas aktiviti penyebaran kefahaman Islam kepada masyarakat.

“Kerajaan negeri juga merancang untuk menubuhkan Majlis Syeikh Magari sebagai wadah kumpulan pakar al-Quran dan Qiraat yang akan memberi pendidikan kepada imam, asatizah dan masyarakat Islam secara keseluruhan.

“Selangor kini menduduki tempat pertama di Malaysia dengan 1,131 buah sekolah agama Islam berdasarkan rekod Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam membangunkan pendidikan agama,” katanya.

Tambah Danial, inisiatif-inisiatif itu jelas menunjukkan bahawa urusan agama Islam adalah salah satu keutamaan kerajaan negeri Selangor, sekali gus membuktikan tuduhan pembangkang mengenai ancaman kepada Islam adalah tidak tepat dan tidak selari dengan usaha yang sedang dilaksanakan.

“Oleh itu, semua pihak diseru supaya berhenti menggunakan agama sebagai alat politik demi keuntungan parti dan memberi fokus kepada kepentingan masyarakat secara keseluruhan,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat