‘Pembangkang, Jangan Ajar Rakyat Kufur Nikmat’ – Hasanuddin

PETALING JAYA: Pembangkang diingatkan agar tidak menanam sentimen kebencian terhadap kerajaan sehingga mendorong rakyat menolak segala bentuk bantuan dan inisiatif yang diberikan.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus menyifatkan sikap segelintir pemimpin politik yang sanggup menafikan usaha kerajaan semata-mata kerana perbezaan ideologi sebagai satu bentuk kufur nikmat yang tidak wajar dibiarkan.

“Pemimpin parti politik hari ini apabila benci pada pemerintah, bukan sahaja menolak sebarang kebaikan kerajaan, malah mengajar orang ramai supaya tidak bersyukur atas nikmat Allah yang diberikan kepada mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hasanuddin berkata, negara kini sedang dipulihkan daripada pelbagai ketirisan dan masalah lampau, justeru sokongan kepada usaha murni kerajaan perlu diraikan dan bukan diperlekehkan.

Beliau menambah, masyarakat harus dibimbing untuk mensyukuri segala kemudahan dan peluang yang tersedia hasil usaha kerajaan memperbaiki ekonomi serta membuka ruang kepada rakyat untuk bangkit mencari rezeki.

“Pemerintah kelihatan hampir berjaya setelah bertungkus-lumus mengembalikan kekayaan negara yang hilang akibat rasuah, pembaziran dan hilang kepercayaan pelabur,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan akan kewujudan suara-suara halus yang cuba mempengaruhi rakyat supaya menolak segala usaha kerajaan dan menyemai rasa tidak bersyukur.

“Ayuh, berikan teguran kepada suara-suara sumbang yang memperkecilkan nikmat Allah SWT,” tegas beliau.

Beliau turut berkata, kestabilan dan kemajuan negara hari ini sebagai hasil perjuangan bersama yang wajar dihargai dengan rasa syukur, bukan dipandang hina atas dasar politik sempit.

Anda Mungkin Berminat