PETALING JAYA: Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Siti Aishah Shaik Ismail, tampil lantang menempelak kenyataan yang dibuat oleh pemimpin pembangkang termasuk Waythamoorthy, yang mempertikaikan kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak sah.
Dalam satu kenyataan, Siti Aishah menyifatkan tindakan tersebut sebagai ‘lapar kuasa’ dan tidak berpijak di bumi nyata, apatah lagi ketika negara sedang berdepan isu-isu besar yang menyentuh emosi rakyat.
“Saya meneliti satu sidang media yang dibuat oleh Waythamoorthy dan beberapa pemimpin pembangkang yang sekali lagi menjadikan kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak sah.
“Segala hujah yang dinyatakan adalah bersifat dangkal dan berulang-ulang yang langsung tidak berpaksikan kepada hakikat sebenar keadaan yang ada sesuai fakta mengikut perlembagaan negara,” katanya.
Beliau turut menegur sikap pembangkang yang dilihat tidak sensitif terhadap suasana negara yang sedang berduka dengan tragedi kematian adik Zara Qairina, selain berusaha memulihkan ekonomi dan membangunkan semula kehidupan rakyat.
“Dalam keadaan negara ini sedang berduka dengan isu melibatkan adik Zara, isu pemulihan ekonomi dan isu pembanggunan semula kehidupan rakyat yang selama ini terpisah dari sikap pemerintahan terdahulu, masih ada pemimpin pembangkang yang ‘lapar kuasa’ dan cuba terus menjadikan isu berkait perlembagaan ini dimainkan,” katanya.
Beliau menyeru agar pembangkang menghormati mandat rakyat dan berhenti menjadikan rakyat sebagai mangsa kepada permainan politik yang tidak berasas.
“Rata-rata rakyat sedar bahawa kepedulian kerajaan hari ini adalah sesuatu yang menjadi harapan mereka maka nasihat saya kepada Waythamoorthy dan pemimpin pembangkang berpijaklah di bumi yang nyata, jangan jadikan rakyat mangsa kepada ‘lapar kuasa’ kamu,” katanya.
Siti Aishah turut mencabar Waythamoorthy untuk membuktikan sokongan rakyat terhadap ideanya melalui pilihan raya akan datang.
“Waythamoorthy juga boleh la mencuba semula dalam pilihan raya akan datang untuk membuktikan pemikiran dan ‘lapar kuasa’ yang dimainkan ini diterima rakyat atau tidak,” ujarnya.
Beliau berkata, di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia kini berada di landasan terbaik di rantau ASEAN dan rakyat semakin yakin dengan hala tuju Kerajaan Perpaduan.
“Tahun ini merupakan tahun ketiga Negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berada di tanda aras yang terbaik di Asean.
“Rakyat dengan yakin sedang bersama dengan Kerajaan Perpaduan ini untuk terus memacu Negara ke arah Malaysia yang lebih baik,” katanya.
Siti Aishah turut mengingatkan bahawa pilihan raya hanya berbaki dua tahun dan pemimpin pembangkang seharusnya menghormati kebijaksanaan rakyat yang kini segar bersama semangat Malaysia Madani.
“Kepada pemimpin yang ‘lapar kuasa’, pilihan raya berbaki sekitar dua tahun dari sekarang.
“Jangan perlekehkan rakyat dengan cara kamu berfikir kerana rakyat kini segar bersama Madani,” katanya.