Pembangkang mahu Kerajaan bentuk Konsensus Nasional baharu tangani perpecahan politik

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini menegaskan bahawa Malaysia amat memerlukan satu perubahan Konsensus Nasional Baharu sebagai langkah utama menangani perpecahan politik dan sosial di negara ini.

Hamzah menekankan bahawa konsensus tersebut tidak boleh bersifat eksklusif atau terhad kepada mana-mana kaum, agama atau wilayah tertentu.

Sebaliknya, ia perlu melibatkan penyatuan pelbagai pihak termasuk kelas politik, tokoh agama, masyarakat sivil dan rakyat secara menyeluruh.

“Konsensus ini mestilah inklusif. Ia harus menjadi jambatan yang menyatukan semua segmen masyarakat Malaysia bukan sekadar slogan politik, tetapi satu komitmen nasional,” ujar beliau ketika berucap di Institut ISEAS–Yusof Ishak di Singapura, hari ini.

Menurut Hamzah, Konsensus Nasional Baharu itu perlu dibina berasaskan tiga teras utama, iaitu matlamat bersama, kemakmuran bersama, dan tadbir urus penuh ihsan.

Menyentuh mengenai matlamat bersama, beliau berkata Malaysia perlu meninggalkan era politik berasaskan kelangsungan peribadi. Sebaliknya, negara mesti menolak politik permusuhan dan kembali menghayati semangat kenegaraan secara kolektif.

“Malaysia mesti melangkaui era politik kelangsungan hidup. Kita mesti menolak politik dendam dan menghidupkan semula semangat kenegaraan bersama,” tegas beliau.

Bagi kemakmuran bersama, beliau menyeru agar pembangunan negara ditakrifkan semula supaya tiada komuniti yang tersisih atau terpinggir daripada arus kemajuan.

“Kita tidak boleh menjadikan warna kulit atau kod pos sebagai penentu kualiti hidup seseorang rakyat Malaysia,” katanya, sambil menegaskan pentingnya dasar yang adil dan menyeluruh.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat