Pembangkang perlu ‘move on’ dengan perkara lebih penting – AMK

PETALING JAYA: Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang menolak untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dikritik sebagai satu cubaan mengelak daripada menunjukkan kebertanggungjawaban atau akauntabiliti terhadap peruntukan kerajaan yang sepatutnya diterima.

Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar mendakwa bahawa pembangkang terus berpura-pura menjadi mangsa, sedangkan mereka mempunyai peluang dan ruang untuk berunding dengan kerajaan.

Beliau turut menyatakan bahawa sikap pembangkang bertentangan dengan semangat rundingan yang pernah berlaku antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan pada tahun 2021.

“Pembangkang wajar mencontohi semangat rundingan yang dilakukan antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan serta sikap proaktif Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu sehingga termeterainya MoU Transformasi dan Kestabilan Politik dua tahun lalu,” katanya.

Haziq turut menambah bahawa rakyat masih mengingati bagaimana pimpinan Perikatan Nasional (PN) tidak hadir untuk berunding mengenai MoU lebih dari setahun, walaupun sudah memegang peranan sebagai pembangkang.

Jelasnya, itu membuktikan bahawa pihak pembangkang tidak menunjukkan kesungguhan untuk mencapai persetujuan yang akan membawa manfaat kepada rakyat.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk menyalurkan peruntukan yang seharusnya diterima pembangkang tersebut kepada Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) sekiranya pembangkang terus bermain politik.

Menurutnya, IKR yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan adalah satu langkah penting untuk mendemokrasikan dana kerajaan, membolehkan rakyat memohon pembangunan kecil secara terus tanpa perlu melalui saluran politik.

“IKR yang diusahakan oleh Kerajaan Perpaduan merupakan salah satu usaha ‘underrated’ bagi mendemokrasikan dana kerajaan,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Haziq berkata, kerajaan masih membuka ruang kepada pihak pembangkang untuk menamatkan permainan politik sempit mereka.

“Pembangkang masih berpeluang menamatkan rancangan politik sempit mereka dengan meneruskan rundingan dan melaksanakan kebertanggungjawaban terhadap peruntukan tersebut melalui mekanisme MoU,” katanya.

Anda Mungkin Berminat