KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) wajar dijadikan titik perubahan untuk merangka pembangunan negara yang benar-benar memenuhi keperluan rakyat, bukan sekadar menambah pencakar langit atau projek mega yang tidak selaras dengan realiti komuniti setempat.
Felo Penyelidik Pascadoktoral di International Institute of Public Policy and Management (INPUMA), Universiti Malaya, Dr Noraisah Yusop, menegaskan bahawa pembangunan sebenar perlu berpaksikan kesejahteraan rakyat, selari dengan prinsip Ekonomi MADANI.
“Bangunan tinggi dan kondominium mewah tidak menjamin pertumbuhan ekonomi jika ia tidak diiringi peningkatan produktiviti, peluang pekerjaan, dan kualiti hidup yang lebih baik,” katanya pada Khamis.
Menurut beliau, pembangunan melampau tanpa perancangan rapi berisiko melahirkan “bandar hantu” yang gagal memberi sumbangan nyata kepada ekonomi. Sebaliknya, RMK13 perlu menekankan pelaburan dalam sektor berpotensi tinggi seperti ekonomi digital, industri hijau, dan pembangunan modal insan.
Dr Noraisah turut menekankan keperluan memastikan pembangunan bandar menepati keperluan komuniti. Antara isu yang sering dibangkitkan penduduk ialah sekolah tanpa kemudahan padang, akses pengangkutan awam yang terhad, serta ketiadaan laluan pejalan kaki yang selamat.
Beliau mencadangkan supaya semua projek perumahan mampu milik diwajibkan berada dalam jarak 400 meter daripada pengangkutan awam, selain menyediakan ruang parkir mencukupi. Moratorium pembangunan di kawasan sesak juga perlu dilaksanakan sehingga kajian utiliti, trafik, dan kapasiti sekolah diselesaikan.

“Penduduk setempat mesti dilibatkan dalam proses membuat keputusan. Pembangunan bandar tidak boleh hanya dilihat dari sudut fizikal, tetapi juga keseimbangan ekologi, kohesi sosial dan keadilan,” katanya.
Kajian Bank Pembangunan Asia dan Universiti Nasional Singapura (2015) menunjukkan bahawa walaupun Asia pesat membangun, sehingga 20 peratus penduduk masih hidup dalam kemiskinan tegar, manakala hampir separuh berisiko jatuh semula ke tahap tersebut.
Justeru, Dr Noraisah berpandangan RMK13 perlu disusun semula dengan pendekatan inklusif, termasuk pelaburan dalam pendidikan, kemahiran, keusahawanan dan tadbir urus kolaboratif.
“Keberhasilan sesebuah bandar tidak wajar diukur melalui kelajuan atau ketinggian bangunannya, tetapi melalui sejauh mana pembangunan itu meningkatkan kualiti hidup rakyat,” tegasnya.
Baca juga:








