‘Pembangunan Kampung Baru Mesti Lindungi Kepentingan Melayu’, Titah Sultan Selangor

PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, menzahirkan titah tegas bahawa sebarang pembangunan semula Kampung Sungai Baru dan Kampung Baru perlu dilaksanakan secara berhati-hati dengan keutamaan jelas terhadap kepentingan masyarakat Melayu.

“Beta tidak menghalang Kampung Baru dibangunkan, namun syaratnya harus jelas serta mengutamakan kepentingan orang Melayu,” titah baginda dalam kenyataan, pada Khamis.

Baginda bertitah, pembangunan tidak boleh mengabaikan sejarah dan warisan kawasan tersebut yang telah menjadi simbol kebangkitan orang Melayu sejak lebih satu abad lalu.

“Kawasan itu diwartakan pada 1900 sebagai rizab Malay Agricultural Settlement (MAS) hasil kurniaan Sultan Selangor ke-5, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah.

“Dalam setiap pertimbangan yang dibuat, sejarah asal dan warisan Kampung Baru perlu diambil kira kerana ia simbol kebangkitan orang Melayu sejak lebih 100 tahun lalu,” titah baginda lagi.

Sultan Sharafuddin turut mengimbau peranan penting Kampung Baru sebagai nadi masyarakat Melayu di ibu negara termasuk menjadi lokasi Kongres Melayu SeMalaya 1946 yang membawa kepada penubuhan UMNO serta tempat perlindungan ketika tragedi 13 Mei 1969.

Menurut baginda, beberapa bangunan bersejarah seperti Kelab Sultan Sulaiman dan Masjid Jamek Kampung Baru perlu terus dipelihara sebagai warisan bangsa.

“Justeru, sebarang keputusan mengenai pembangunan Kampung Baru mestilah mengambil kira kepentingan orang Melayu bukan sahaja untuk hari ini, malah untuk jangka masa panjang,” titah Sultan Sharafuddin.

Anda Mungkin Berminat