KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pembangunan ibu kota tidak boleh bersifat eksklusif untuk golongan elit semata-mata, sebaliknya mesti berpaksikan nilai kemanusiaan dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) yang disifatkan sebagai pelan paling menyeluruh dalam sejarah perancangan bandar oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Kita mahu pembangunan yang inklusif, mengambil kira idea baharu seperti digital dan kecerdasan buatan (AI) serta keperluan rakyat marhaen termasuk perumahan mampu milik dan ruang yang kondusif untuk peniaga kecil,” katanya.
Menurut Anwar, kerajaan komited memastikan pembangunan Kuala Lumpur tidak hanya tertumpu kepada aspek estetika atau pembinaan mercu tanda mewah, tetapi turut menyentuh kehidupan harian golongan pekerja dan miskin bandar.
“Kita tidak mahu pembangunan hanya memenuhi selera satu golongan.
“Kita mahu ‘a development with soul, values and humanity’, pembangunan yang memberi ruang kepada semua untuk hidup selesa dan bermaruah,” ujar beliau.
Menyingkap pengalaman peribadi ketika tinggal di Segambut Dalam, Anwar mengimbas kembali bagaimana kawasan itu dibangunkan tanpa mempertimbangkan keperluan asas seperti taman permainan atau kemudahan rekreasi.
“Saya bingung bagaimana kelulusan boleh diberi tanpa memikirkan keperluan asas penduduk.
“Inilah yang saya maksudkan dengan pentingnya tatakelola yang baik,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan tidak bercadang membina kota baharu seperti Putrajaya, sebaliknya mahu menyesuaikan struktur sedia ada Kuala Lumpur dengan kehendak semasa termasuk meningkatkan kawasan hijau, kemudahan asas dan ruang awam yang adil untuk semua.
Perdana Menteri turut memberi amaran agar pembangunan tidak mengabaikan unsur budaya, seni dan nilai kemasyarakatan.
“Jangan kita hanya fikir soal gedung-gedung gah tetapi akhirnya ‘culturally barren’ (gersang budaya), ruh dan nilai,” katanya lagi.
Beliau menyeru pemaju, warga kota dan juga golongan elit agar bersama-sama membina Kuala Lumpur sebagai sebuah kota yang adil dan inklusif, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.