Pembangunan Tidak Boleh Jejas Fungsi Kolam Takungan – Menteri

KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI memandang serius kejadian tanah mendap atau ‘sinkhole’ yang tular di media sosial pada Isnin, melibatkan kawasan kolam takungan banjir di Jinjang dan Batu, Wangsa Maju.

Kawasan tersebut dilaporkan telah diberi milik kepada pihak pemaju sejak tahun 2015.

Menurut kenyataan media oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, sebanyak 17 lot tanah kolam takungan banjir terlibat dengan kira-kira 70 peratus keluasan tanah dalam kawasan badan air itu telah diserahkan hak milik bagi tujuan pembangunan.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan kapasiti kolam takungan banjir berkurangan berbanding keluasan asal 33.5 hektar.

“Berdasarkan penilaian teknikal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, keadaan ini menjejaskan fungsi asal kolam takungan banjir serta menyukarkan kerja-kerja penyelenggaraan dan akses jentera,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan yang menjejaskan fungsi kolam takungan banjir tidak boleh terus dibenarkan kerana keselamatan rakyat dan warga kota mesti diutamakan.

“Tindakan tegas perlu diambil bagi memperbaiki masalah yang telah lama diwarisi,” katanya.

Susulan itu, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah menubuhkan pasukan petugas khas yang dipengerusikan Ketua Pengarah JWP, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.

Pasukan itu katanya, melibatkan kerjasama pelbagai agensi bagi memperkukuhkan penyelarasan serta tindakan mitigasi banjir di Kuala Lumpur.

Selain itu, Hannah berkata, DBKL tidak akan meluluskan sebarang Kebenaran Merancang (KM) bagi pembangunan di atas kawasan kolam takungan banjir sehingga syarat pembangunan yang ditetapkan JPS dipatuhi sepenuhnya.

“Ianya bagi memastikan fungsi asal kolam dan akses penyelenggaraan dapat dikekalkan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat