Pembebasan Syed Saddiq bukti badan kehakiman bebas, tiada campur tangan Kerajaan

Oleh: Aliyaa Azmi

PETALING JAYA: Keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada empat pertuduhan jenayah membuktikan bahawa badan kehakiman negara masih bebas dan tidak dipengaruhi campur tangan politik.

Penganalisis politik, Dr Kartini Aboo Talib, berkata keputusan itu memperlihatkan akauntabiliti dan integriti sistem kehakiman Malaysia masih utuh walaupun sering berdepan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, keputusan mahkamah itu secara tidak langsung menguatkan keyakinan bahawa kerajaan semasa menghormati prinsip pengasingan kuasa dan tidak mencampuri urusan badan kehakiman.

“Bila berurusan dengan mahkamah, walaupun ramai sangka ada ketirisan, tetapi bila melibatkan tata kelola, peraturan, prosedur dan pembuktian, tidak semuanya boleh direka-reka dengan mudah,” katanya kepada Malaysia Bangkit pada Khamis.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) UKM berkata kes Syed Saddiq seiring dengan beberapa kes lain seperti pengampunan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, kes Yusoff Rawther dan sabitan terhadap Datuk Seri Najib Razak yang membuktikan institusi kehakiman masih berfungsi secara bebas.

Mahkamah Rayuan semalam sebulat suara mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap Syed Saddiq selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie serta tiada elemen niat tidak jujur dalam pertuduhan yang dikemukakan.

Mahkamah juga menerima hujahan bahawa wang yang dipertikaikan dalam kes berkenaan adalah milik Syed Saddiq dan digunakan untuk tujuan politik, sekali gus menolak dakwaan penyelewengan serta pertuduhan bersubahat.

Hujahan pembelaan yang diterima dan keputusan membebaskan Syed Saddiq turut mengukuhkan pandangan bahawa badan kehakiman negara masih menjalankan fungsi secara profesional dan bebas daripada tekanan luar.

Bagaimanapun, Dr Kartini mengingatkan bahawa persepsi rakyat terhadap kerajaan tidak boleh hanya dilihat dari sudut keputusan mahkamah semata-mata.

“Persepsi rakyat terhadap kerajaan banyak dipengaruhi oleh faktor lain seperti kos sara hidup, harga barang yang meningkat, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta isu bahan api dan tenaga.

“Jadi tidak wajar membuat analisis dari satu sudut sahaja, sebaliknya perlu melihat kepada pelbagai dimensi yang membentuk pandangan rakyat,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat