PETALING JAYA: Pasukan pembelaan yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, hari ini memaklumkan bahawa terdapat kelemahan serius dalam laporan siasatan yang telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Mereka mendakwa siasatan yang dijalankan terlalu sempit dari segi skop dan tidak menyeluruh dalam menangani isu-isu penting berkaitan kematian Zara.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, mereka menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa aspek siasatan yang didakwa tidak lengkap.
Antaranya, tiada bedah siasat dilakukan terhadap jenazah Zara sebelum pengkebumiannya.
Selain itu, pakaian dan barang peribadi yang dipakai oleh Zara ketika ditemui di bawah bangunan asrama pada 16 Julai 2025 tidak diambil oleh pihak polis untuk tujuan siasatan.
Keterangan mengenai kesan lebam di bahagian belakang tubuh Zara juga hanya diambil pada petang 3 dan 4 Ogos 2025 di Balai Polis Sipitang.
Menurut mereka, ketiadaan bahan bukti penting seperti laporan bedah siasat, pakaian dan barang peribadi Zara telah menyukarkan pihak polis untuk menjalankan siasatan secara berkesan.
Tambahan pula, mereka menyatakan bahawa terdapat kekangan masa yang ketara kerana laporan siasatan telah dihantar ke Putrajaya pada 4 Ogos 2025, sekali gus menjejaskan ruang untuk siasatan lanjut.
Hamid dan Shahlan turut mendakwa berlaku kebocoran maklumat daripada fail siasatan kepada pihak umum.
Mereka merujuk kepada penularan isu ‘plot twist’ di media sosial sejak minggu lalu yang kononnya mengaitkan kematian Zara dengan tekanan perasaan yang berpunca daripada ibunya sendiri.
Menurut mereka, naratif jahat ini telah mencemarkan imej Zara dan ibunya serta menggugat integriti siasatan.
“Penularan isu ‘plot twist’ sejak minggu lepas di beberapa platform media sosial kononnya kematian Zara adalah akibat tekanan perasaan oleh ibunya sendiri memberi indikasi seolah-olah berlaku kebocoran kepada fail siasatan,” kata mereka.
Susulan itu, pasukan guaman telah menghantar surat rasmi kepada AGC pagi tadi untuk merayu agar siasatan dibuka semula.
Mereka memohon agar kertas siasatan dikembalikan kepada Polis Diraja Malaysia dan siasatan dijalankan semula oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman.
Mereka juga mencadangkan agar kubur Zara digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan untuk menentukan punca sebenar kematian.
Selain itu, mereka menggesa agar satu inkues diadakan bagi menilai sama ada wujud unsur jenayah dalam kes ini.
Mereka berharap agar AGC dapat menggunakan kuasa di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah untuk mengarahkan majistret mengadakan inkues tersebut.
“Anak guam kami tidak mengharapkan kemenangan dalam siasatan. Dia hanya mahukan keadilan bagi anaknya, Zara.
“Dia (ibu) sentiasa bersedia untuk membantu polis dalam siasatan,” kata mereka.