Pemberian Kerajaan Negeri Ditingkat Kepada RM10.5 Bilion Tahun Ini

PUTRAJAYA: Majlis Kewangan Negara (MKewN) 2026 bersetuju meningkatkan pemberian Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri dengan jumlah keseluruhan dijangka mencecah RM10.5 bilion pada 2026.

Angka itu meningkat berbanding RM10.3 bilion pada 2025 dan RM8.1 bilion pada 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan tersebut melibatkan pemberian di bawah Senarai Bersama, Penyenggaraan Jalan Negeri serta agihan Cukai Pelancongan.

“Kerajaan MADANI komited menambah baik pemberian Kerajaan Persekutuan kepada semua kerajaan negeri setiap tahun demi manfaat rakyat tanpa mengira negeri atau wilayah,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, keputusan itu selaras dengan kenaikan kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang (PMBO) bermula 2026, sebagaimana digariskan dalam kerangka Ekonomi MADANI.

MKewN turut bersetuju menambah baik mekanisme penyaluran peruntukan di bawah Senarai Bersama bagi memastikan aliran tunai kerajaan negeri lebih mampan.

Skop Penyenggaraan Jalan Negeri juga diperluas, merangkumi perolehan Jambatan Panel Keluli Bermodular serta kerja pembaikan dan pembesaran longkang dan parit di jalan negeri.

Selain itu, kerajaan negeri akan menerima penyaluran lebih awal bagi semua pemberian di bawah Senarai Bersama.

Kutipan 100 peratus Cukai Pelancongan juga akan disalurkan sepenuhnya kepada negeri sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, berbanding hanya 50 peratus sebelum ini.

Anwar berkata, kerajaan bersedia bekerjasama dengan semua negeri untuk memperkukuh pembangunan sosioekonomi dan prasarana, sekali gus menyokong kelestarian ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

Anda Mungkin Berminat