Pembinaan negara bukan usaha sehari dua – Menteri Agama

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Dalam tempoh kurang lima tahun sahaja, Kerajaan Madani berjaya melaksanakan reformasi institusi sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus, integriti serta amanah dalam tatakelola negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, selain bantuan yang disalurkan secara langsung kepada rakyat seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Bantuan Awal Persekolahan, kerajaan turut melaksanakan pembaharuan bersifat struktur yang signifikan, meskipun tidak kelihatan secara langsung.

Menurutnya, antara reformasi utama ialah pindaan terhadap Akta Audit 1957 yang memperluas kuasa Ketua Audit Negara bagi memastikan setiap perbelanjaan melibatkan kepentingan awam dapat diaudit dan dipertanggungjawabkan.

“Dalam Islam, amanah bukan satu pilihan, tetapi kewajipan.

“Justeru, aspek ketelusan dan akauntabiliti mesti diperkukuh,” katanya di laman rasmi Facebook pada Selasa.

Zulkifli turut memaklumkan penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen 2023 yang mengembalikan autonomi Parlimen dari segi pentadbiran dan kewangan, sekali gus memperkukuh prinsip pengasingan kuasa.

“Kemudian Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal menetapkan disiplin pengurusan hutang dan fiskal negara.

“Diperkenalkan kerana generasi akan datang juga punya hak ke atas masa depan yang stabil,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kerajaan Madani turut memperkenalkan Akta Perolehan Kerajaan 2023 bagi mempertingkat ketelusan dalam proses perolehan serta mengehadkan kuasa mutlak Menteri Kewangan, sekali gus memastikan integriti menjadi asas utama pentadbiran.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata cadangan pindaan Perlembagaan turut dikemukakan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun serta memisahkan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, sebagai langkah memperkukuh sistem semak dan imbang.

Jelas beliau, walaupun reformasi tersebut belum sempurna, namun ianya masih memerlukan penambahbaikan serta usaha yang berterusan sepertimana yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani secara tertib dan berhemah.

“Pembinaan negara bukan usaha sehari dua, sebaliknya memerlukan kesabaran, istiqamah dan komitmen berpanjangan,” kata beliau.

Beliau turut merakamkan kesyukuran atas kestabilan negara serta berharap Malaysia terus dipimpin dengan amanah, dipayungi rahmat dan dijauhkan daripada sebarang bentuk pengkhianatan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat