PETALING JAYA: Spekulasi berhubung tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah terus menjadi tumpuan, selepas sidang DUN berakhir semalam.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memberi bayangan bahawa sidang tersebut mungkin yang terakhir sebelum pembubaran dibuat.
Secara berseloroh, beliau menyatakan keputusan itu masih menunggu ilham.
“Saya perlu ‘bermimpi’ dulu untuk tentukan masa terbaik,” katanya.
Namun, beliau berkata, pembubaran DUN tidak berlaku secara automatik dan keputusan muktamad masih dalam perbincangan bersama pimpinan parti.
“Kita akan umumkan tarikhnya kepada rakan media apabila sudah diputuskan.
“Bersabarlah, tidak lama lagi. Jangan tanya bulan dan jangan anggap ia berlaku secara automatik. Itu di bawah bidang kuasa Ketua Menteri,” jelasnya.
Hajiji turut memaklumkan bahawa beberapa siri perbincangan dengan pemimpin parti telah diadakan bagi mengenal pasti waktu yang paling sesuai untuk pembubaran.
Menurutnya, kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) masih berfungsi dengan baik dan terus melaksanakan mandat rakyat.
Sekiranya tiada pembubaran awal, DUN Sabah ke-16 dijadualkan terbubar secara automatik pada 11 November ini.
Untuk info, Pilihan Raya n
Negeri (PRN) terakhir berlangsung pada September 2020 susulan kemelut politik, yang menyaksikan GRS mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Warisan.