Pembukaan Huawei AI Lab: Malaysia Bangkit Sebagai Peneraju Kecerdasan Buatan

KUALA LUMPUR: Peluncuran Huawei AI Lab and Innovation Centre pada Isnin bukan sekadar simbol kemajuan teknologi tetapi menjadi bukti nyata kesungguhan Malaysia untuk mengangkat darjatnya sebagai negara peneraju dalam era kecerdasan buatan.

Dalam ucapan perasmian, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak boleh lagi sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya mesti berani tampil sebagai pencipta dan penentu arah.

“Kita tidak boleh lagi selesa sebagai pengguna, sebaliknya mesti bangkit sebagai pencipta dan penentu arah dengan keberanian membina kekuatan sendiri serta memanfaatkan bakat anak tempatan secara tuntas,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kemajuan teknologi tanpa nilai hanya akan meruntuhkan makna pembangunan itu sendiri.

“Dalam keghairahan dunia mengejar kecanggihan AI, kita tidak boleh alpa bahawa kemajuan tanpa nilai hanya akan meruntuhkan makna pembangunan itu sendiri,” ujar Anwar.

Kerajaan MADANI, jelas beliau, akan memastikan transformasi digital bersifat inklusif dan berteraskan rakyat, merapatkan jurang antara bandar dan desa, membuka ruang kepada bakat tempatan untuk berkembang serta menjamin setiap lapisan masyarakat merasai manfaatnya secara adil dan saksama.

“Prinsip keadilan, ihsan dan keseimbangan sosial mesti kekal terpahat sebagai asas, agar teknologi ini memanfaatkan manusia secara menyeluruh, bukan menjarakkan lagi jurang yang sedia ada,” katanya.

Dalam masa sama, Malaysia kekal terbuka kepada kerjasama global, namun dengan pendirian tegas bahawa setiap langkah mesti dipacu menurut acuan sendiri.

“Malaysia kekal terbuka kepada kerjasama global, namun dengan pendirian yang tegas bahawa setiap langkah mesti dipacu menurut acuan kita sendiri, berteraskan nilai, demi masa depan yang lebih maju, berdaulat dan bermaruah,” kata Perdana Menteri.

Anda Mungkin Berminat