PETALING JAYA: Pemergian tokoh ulung, Profesor Khurshid Ahmad, membawa kehilangan besar kepada dunia Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah atas perginya ilmuwan yang berjasa dalam membangunkan wacana ekonomi Islam moden serta meletakkan asas penting dalam pemikiran ekonomi Islam kontemporari.
“Beliau (Allahyarham Khurshid) seorang aktivis dan pemikir yang telah meletakkan asas penting dalam pembangunan wacana ekonomi Islam kontemporari,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar turut mendoakan agar amal soleh allahyarham diterima, segala dosanya diampunkan, kuburnya dilapangkan dan rohnya ditempatkan bersama para syuhada serta solihin.
“Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un. Legasi ilmu beliau akan terus menyinari generasi akan datang,” ujar Perdana Menteri penuh rasa hiba.
Allahyarham Profesor Khurshid Ahmad dikenali sebagai arkitek ekonomi Islam moden, pengasas bersama The Islamic Foundation di United Kingdom dan pengerusi pengasas Institute of Policy Studies di Islamabad.
Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Senat Pakistan dalam beberapa penggal, Menteri Perdagangan dan Perancangan Persekutuan serta Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perancangan.
Sebagai seorang akademik disegani, allahyarham menghasilkan lebih 70 buah buku dalam bahasa Inggeris dan Urdu serta menjadi editor majalah bulanan Jamaat-e-Islami, Tarjamanul Quran.
Media antarabangsa melaporkan bahawa beliau menghembuskan nafas terakhir di Leicester pada usia 93 tahun.