Pemergian pejuang reformasi, Shariffuddin ‘Hunter’ diratapi rakan seperjuangan

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh, menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Shariffuddin Budin, atau lebih dikenali sebagai Hunter, yang meninggal dunia semalam.

Menurut Fuziah, Allahyarham merupakan antara reformis awal yang bersama menggerakkan gelombang perjuangan rakyat sejak 1998, selain dikenang sebagai seorang pejuang berani.

“Hunter adalah sahabat seperjuangan yang rela membayar harga kebebasan demi kebenaran. Walaupun pernah ditahan bawah ISA selepas gelombang Reformasi, beliau tetap teguh mempertahankan prinsipnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Fuziah berkata, ramai mengenang kehidupan Allahyarham yang penuh cabaran, namun semangat perjuangannya untuk KEADILAN tidak pernah padam sehingga ke akhir hayat.

Katanya lagi, hampir setiap hari beliau bertanya khabar tentang keadaan Allahyarham melalui keluarga, dan berita pemergian itu amat menyentuh perasaannya.

“Semoga Allah mengampuni segala dosanya, mencucuri rahmat ke atas rohnya, dan menempatkan beliau dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Datuk Fahmi Fadzil, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pejuang ikhlas dan reformis gigih yang sentiasa setia dengan semangat Reformasi tanpa mengenal lelah.

“Peranan dan sumbangan beliau akan terpahat dalam sejarah perjuangan menegakkan keadilan dan kebenaran. Takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Shariffuddin bin Budin (Hunter),” ujarnya dalam hantaran berasingan.

Kedua-dua pemimpin itu mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat