Pemerkasaan Wanita Jadi Fokus Utama Perbincangan Anwar Bersama Marhamah

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menerima kunjungan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, bagi membincangkan beberapa agenda strategik yang perlu digerakkan secara lebih tersusun.

Dalam pertemuan itu, Anwar menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk menjadikan pemerkasaan wanita sebagai teras penting dalam pembangunan insan dan kesejahteraan masyarakat.

Beliau menyifatkan usaha itu selaras dengan agenda dakwah berhikmah serta memperkukuh kebajikan rakyat.

“Kerajaan MADANI akan memastikan setiap usaha pemerkasaan wanita dilaksanakan dengan kesungguhan, keselarasan dasar serta keberanian melakukan penambahbaikan, demi membina masyarakat yang adil, seimbang dan progresif,” katanya di Facebook pada Khamis.

Perdana Menteri turut menekankan bahawa pemerkasaan wanita bukan sekadar isu sosial tetapi merupakan tonggak utama pembangunan negara yang mampan, merangkumi bidang pendidikan, ekonomi dan kepimpinan.

Beliau berkata, pendekatan bersepadu antara jabatan dan kementerian amat penting bagi memastikan setiap inisiatif memberi impak positif kepada wanita dan masyarakat secara keseluruhan.

Anwar sekali lagi menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus menggerakkan dasar yang inklusif dan berkesan dalam memperkukuh kedudukan wanita di semua lapisan masyarakat.

“Usaha ini juga bertujuan memastikan wanita terus memainkan peranan penting dalam membina masa depan negara yang lebih adil, progresif dan berdaya saing,” katanya.

Anda Mungkin Berminat