Oleh: Tyah Helmi
KUALA LUMPUR: Pemeteraian Perdagangan Perjanjian Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3 menjadi langkah penting dalam jalinan kerjasama serantau bersama tanah besar itu.
Anwar turut menegaskan bahawa hubungan erat ASEAN bersama kuasa besar dunia termasuk Amerika Syarikat (AS) dan China membuktikan keupayaan rantau itu dapat mengekalkan peranan pusatnya dalam landskap geopolitik global.
Katanya, kehadiran beliau bersama Presiden AS, Donald Trump pada Ahad dan bersama Premier China, Li Qiang hari ini menjadi simbol jelas kepada keseimbangan dan kebijaksanaan ASEAN dalam menjalin hubungan dengan semua kuasa besar dunia.
“Ini mencerminkan kesatuan ASEAN Saya ucap tahniah kepada rakan-rakan ASEAN atas kebijaksanaan mengekalkan peranan pusat serta hubungan bersahabat dengan semua negara,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-China di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Perdana Menteri berkata, pendekatan berterusan itu membina kepercayaan dan membolehkan negara-negara ASEAN bekerjasama dalam menangani cabaran bersama.
“Kita kini mempunyai 11 anggota, termasuk Timor-Leste sebagai ahli baharu. Keseragaman pandangan secara mutlak mungkin tidak dapat dicapai, namun semangat menghargai pendekatan China yang konsisten dan konstruktif dikongsi oleh semua,” ujarnya.

Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri China, Li Qiang atas penyertaan beliau dalam sidang kemuncak tersebut sambil menyatakan bahawa hubungan erat ASEAN-China kekal menjadi teras kepada kestabilan dan kemakmuran serantau.
Majlis menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China yang dinaik taraf (ACFTA 3.0) berjaya dilaksanakan dengan penuh tertib dan bersejarah pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Majlis yang menjadi tumpuan antarabangsa itu menyaksikan wakil Malaysia, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, bersama Perdana Menteri China, Li Qiang, menaiki pentas bagi menyempurnakan sesi tanda tangan rasmi sebelum diteruskan dengan Mesyuarat FTA ASEAN-China di Dewan 2, KLCC.
Turut menyaksikan detik bersejarah ini ialah Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan pemimpin tertinggi ASEAN iaitu Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet; Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone; Presiden Filipina, Ferdinand R. Marcos Jr; Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong; Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul; Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh; dan Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão, serta Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.
Katanya, tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-80 bersempena kemenangan Perang Dunia Kedua, dengan China menganjurkan pelbagai acara peringatan sebagai simbol keamanan dan keteguhan semangat antarabangsa.
Baca juga;








