Pemilihan PKR: Audit sahkan tiada unsur penyelewengan – Dr Zaliha

PETALING JAYA: Laporan audit antarabangsa terhadap sistem pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan bahawa proses e-pengundian berlangsung tanpa sebarang manipulasi bagi memastikan ketelusan dan integriti pemilihan parti.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, semakan menyeluruh terhadap sistem yang berasaskan teknologi ‘blockchain’ mendapati ia berfungsi dengan baik serta memiliki tahap keselamatan tinggi.

“Proses audit mendapati tiada bukti berlaku manipulasi data, kehilangan undi atau sebarang ketidakteraturan sepanjang tempoh pemilihan.

“Sistem ini berjaya mengesahkan identiti pengundi, menyulitkan undi yang dihantar dan menyimpan data secara selamat.

“Malah, imbasan keselamatan juga tidak mendedahkan sebarang risiko kritikal,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Untuk info, proses pemilihan telah berlangsung dari 9 hingga 11 April serta 18 hingga 20 April lalu, disusuli dengan pengundian semula di enam cabang pada 1 Mei.

Senarai rasmi keputusan jawatankuasa Cabang boleh diakses secara dalam talian di laman sesawang https//keputusan.keadilanrakyat.org dan akan diserahkan kepada Pejabat Setiausaha Agung PKR sebagai persiapan menjelang Kongres Nasional hujung bulan ini.

“Kita mahu pastikan setiap proses dalam pemilihan parti berlangsung secara demokratik, telus dan boleh diyakini.

“Laporan audit ini memberi keyakinan bahawa sistem yang diguna pakai KEADILAN adalah selamat dan bebas penyelewengan,” katanya.

Dalam memastikan kelancaran pemilihan peringkat Pusat, Dr Zaliha mengingatkan bahawa pencalonan akan dibuka pada 8 dan 9 Mei, manakala pengundian akan berlangsung secara fizikal bagi perwakilan Jawatankuasa Cabang dan dalam talian bagi perwakilan biasa serta tambahan pada 24 Mei nanti.

Anda Mungkin Berminat