Pemilihan PKR: Keputusan muktamad peringkat cabang diumum hari ini

PETALING JAYA: Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan bahawa keputusan muktamad pemilihan 2025 bagi AJK Cabang, Wanita Cabang dan AMK Cabang akan dipamerkan mulai hari ini di laman sesawang rasmi parti.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh, keputusan itu dibuat setelah perbincangan MPP pada Ahad, yang melibatkan pembentangan Jawatankuasa Pemilihan Parti serta laporan dari Juru Audit Digital Antarabangsa pihak ketiga.

Selain itu, katanya, MPP mengesahkan tarikh penting bagi Kongres Tahunan 2024 dan 2025, yang akan berlangsung pada 23 hingga 25 Mei di Persada International Convention Centre, Johor Bahru.

“Acara itu dijangka menerima kehadiran sekitar 10,000 perwakilan yang akan mengundi secara fizikal, sementara lebih 20,000 lagi akan mengundi secara atas talian,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengenai sistem perwakilan, Fuziah menjelaskan bahawa konsep ‘Proportionate Representation’ akan memberi peluang kepada calon Ketua Cabang yang tidak menang untuk tetap menghantar perwakilan ke kongres berdasarkan jumlah undi yang mereka peroleh.

“Prinsip yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua akan menyemarakkan lagi proses demokrasi di Pemilihan 2025 sewaktu Kongres kali ini,” ujar beliau.

Sebagai persiapan, beliau berkata, MPP turut mengumumkan pelaksanaan Jelajah Kongres ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, program itu bertujuan memberikan maklumat komprehensif kepada para perwakilan.

Selain itu, katanya, platform khas juga akan disediakan bagi calon MPP untuk memperkenalkan diri mereka kepada para perwakilan.

“Ibu Pejabat (PKR) juga akan menyediakan platform khas sewaktu Jelajah Pra Kongres tersebut untuk semua calon MPP bertemu dengan para perwakilan dan memperkenalkan diri masing-masing sebagai calon kelak,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat