Pemilihan PKR: Keputusan peringkat cabang akan segera dimuktamad

PETALING JAYA: Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 mengumumkan bahawa keputusan pemilihan peringkat cabang akan segera dimuktamadkan.

Pengerusi JPP, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, proses penelitian terhadap bantahan-bantahan yang diterima kini sedang berlangsung dengan teliti, adil dan berhemah demi memastikan integriti pemilihan parti terpelihara.

Menurut beliau, keputusan muktamad dijangka disahkan selewat-lewatnya pada 5 Mei 2025.

“Proses ini penting untuk memastikan keadilan kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.

Dr Zaliha berkata, bagi cabang-cabang yang tidak mempunyai pertikaian munasabah atau menang tanpa bertanding, pemenang jawatan dan senarai perwakilan ke Kongres Nasional akan diumumkan lebih awal, iaitu pada 1 Mei 2025.

Katanya, senarai itu akan diserahkan kepada Pejabat Setiausaha Agung untuk persiapan Kongres Nasional, Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Kongres Wanita yang dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 25 Mei 2025.

Namun, bagi cabang-cabang yang mengemukakan bantahan, JPP memberi jaminan bahawa setiap bantahan akan diteliti secara adil sebelum dimuktamadkan.

Pada masa yang sama, katanya, proses pengundian semula juga akan diadakan pada 1 Mei 2025 untuk empat cabang, iaitu Jempol, Selayang, Silam dan Semporna.

“Notis pemakluman akan segera dikeluarkan kepada cabang-cabang berkenaan

“JPP turut menyeru seluruh anggota parti agar terus bertenang dan memberikan kepercayaan kepada proses yang sedang dijalankan, katanya.

Tambah Dr Zaliha, keharmonian dan perpaduan parti adalah menjadi keutamaan.

Anda Mungkin Berminat