Pemilihan PKR: Najwan Halimi, Hee Loy Sian menang Ketua Cabang

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Pemilihan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 mencatatkan kemenangan besar bagi dua tokoh politik parti itu, Mohd Najwan Halimi dan Hee Loy San, yang berjaya menawan kerusi penting di Shah Alam dan Petaling Jaya.

Di Shah Alam, Exco Belia dan Sukan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik mencipta kejayaan gemilang dengan meraih 1,213 undi, mengalahkan penyandangnya, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, yang memperoleh 899 undi.

Keputusan itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang menyifatkannya sebagai benar dan sah.

Sementara itu, di Petaling Jaya, Hee Loy San mencatat kemenangan luar biasa dengan meraih 2,900 undi, jauh meninggalkan pesaingnya, Pengarah Komunikasi PKR yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang hanya memperoleh 2,684 undi.

Pemilihan PKR 2025 yang melibatkan pelbagai Cabang di seluruh negeri termasuk Selangor, Melaka dan Perlis, menjadi medan persaingan sengit, mencerminkan semangat demokrasi yang kukuh dalam parti.

Anda Mungkin Berminat