Pemilihan PKR: Parti Reformasi Angkat Suara Akar Umbi – Mujibu

PETALING JAYA: Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis menyifatkan keputusan dalam pemilihan peringkat Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai bukti keterbukaan PKR dalam meraikan persaingan.

Perkara ini juga memperlihatkan dinamika unik parti berasaskan ideologi reformasi itu berbanding parti-parti tradisional lain seperti UMNO dan PAS.

“Apa yang berlaku dalam pemilihan PKR ini menunjukkan bahawa kedudukan sebagai menteri atau ahli parlimen bukan jaminan untuk terus mendapat sokongan akar umbi.

“PKR sebuah parti terbuka dan suara perwakilan benar-benar menentukan kepimpinan di setiap peringkat,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Kekalahan beberapa nama besar dalam parti seperti Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, menurut Mujibu, bukan sekadar satu peristiwa biasa, tetapi isyarat jelas dari akar umbi kepada pucuk pimpinan.

Katanya, ia menandakan bahawa ahli parti enggan melihat parti ini menjadi milik kelompok tertentu, sebaliknya kekal sebagai wadah rakyat dan suara semua.

Beliau turut menyifatkan keputusan pemilihan itu sebagai isyarat jelas daripada akar umbi agar parti tidak terus berada di zon selesa, sebaliknya peka dengan kehendak ahli menjelang pilihan raya akan datang.

“Satu perkara penting yang boleh dipelajari ialah parti ini bukan milik mana-mana dinasti atau kelompok tertentu, tetapi milik semua ahli.

“Proses ini menjadi satu peringatan penting buat PKR dan juga parti-parti lain agar sentiasa memberi ruang kepada persaingan sihat,” tambahnya.

Perbaiki Proses Undi

Bagaimanapun, di sebalik keterbukaan ini, pemilihan kali ini turut diwarnai beberapa aduan berhubung ketelusan proses pengundian seperti insiden nama calon yang didakwa hilang dari sistem serta dakwaan sabotaj di beberapa cabang menjadi perhatian.

“Saya mendapat perkhabaran ada satu-dua proses pengundian yang didakwa melibatkan
sabotaj yang dikatakan contoh di Cabang Silam Lahad Datu, Sabah ada calon ketua dan calon ketua cabang dan juga ketua AMK itu namanya hilang daripada sistem dikatakan dia telah menarik diri sedangkan dia tidak berlaku. Jadi ini isu-isu yang mungkin PKR boleh tambah baik dari sudut pemilihan.

“Saya percaya PKR harus mengambil serius perkara ini.

“Sekiranya parti mahu terus kekal relevan sebagai parti ideologis yang berteraskan reformasi, aspek ketelusan dan keadilan dalam pemilihan perlu sentiasa diperkemas,” kata Mujibu.

Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat cabang merangkumi Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita, mencatat kejutan apabila beberapa ‘nama besar’ serta berjawatan dalam kerajaan, termasuk penyandang yang bertanding, disahkan tewas.

Bukan itu saja, keputusan pemilihan kali ini turut menyaksikan ‘angin perubahan’ berikutan terdapat calon muka baharu berjaya melakar kemenangan.

Antaranya, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Naib Presiden PKR, kalah kepada pelakon, Datuk Afdlin Shauki, dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa.

Senasib dengan Ahli Parlimen Setiawangsa itu ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

Adam Adli gagal dalam cubaannya merebut jawatan Timbalan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya apabila hanya memperoleh 791 undi berbanding pencabarnya, Zamzizul Nordin yang meraih 1,905 undi.

Anda Mungkin Berminat