JOHOR BAHRU: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar melakar sejarah apabila dipilih sebagai Timbalan Presiden yang baharu selepas memenangi pemilihan bagi jawatan itu untuk sesi 2025-2028.
Ia sekali gus menjadikan beliau wanita pertama yang memegang jawatan itu dalam parti.
Keputusan rasmi itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pada Kongres Nasional 2024/2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada malam ini.
Nurul Izzah, 44, menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi selepas memperoleh 9,803 undi.
Kongres itu yang dirasmikan oleh Presiden PKR merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut dihadiri Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan barisan kepimpinan tertinggi parti.
Turut hadir Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Seri Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu Sabah (UPKO), Datuk Ewon Benedick, Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Proses memilih barisan kepimpinan bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dan Majlis Pimpinan Wanita Pusat parti itu, yang bermula dari pukul 8 pagi dan berakhir pada 5 petang, membabitkan keseluruhan 32,030 pengundi secara fizikal serta dalam talian.