Pemilihan PKR Riuh Tapi Terkawal – Kamil Munim

PETALING JAYA: Suasana pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meriah dan penuh keterlibatan anggota mencerminkan amalan demokrasi yang sihat tanpa sebarang kekecohan yang perlu dibimbangkan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pemilihan parti bukan sekadar pertandingan tetapi satu proses yang menunjukkan keterbukaan dalam menentukan halatuju kepimpinan.

“Demokrasi itu adalah proses yang bingit. Apa yang berlaku bukan sesuatu yang baru dalam PKR.

“Pemilihan sebelum ini pun sering disertai dengan perbezaan pandangan dan persaingan sengit.

“Keriuhan ataupun pertembungan itu bagi saya merupakan satu hal yang biasa, cuma bagaimana kita perlu bijak mengawal naratif supaya rakyat dan juga anggota dapat melihat bahawa kita bersaing ini tidak lain untuk memastikan kesinambungan parti ke hadapan dan terus memperjuangkan isu-isu kebajikan rakyat,” katanya dalam siri podcast Sana Sini, semalam.

Beliau turut menjelaskan bahawa pemilihan kali ini menarik perhatian luar biasa kerana PKR kini merupakan sebahagian daripada kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sudah tentu rakyat ingin tahu misi dan visi parti ini ke hadapan,” ujarnya.

Suhu pemilihan PKR kali ini menjadi tumpuan dengan persaingan sengit antara dua tokoh utama parti, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar yang merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.

Anda Mungkin Berminat