PETALING JAYA: Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi sesi 2025–2028 menyaksikan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, kembali memegang jawatan Ketua Cabang PKR Hang Tuah Jaya.
Shamsul berjaya menewaskan penyandang terdahulu, Mohd Rafee Ibrahim, dengan memperoleh 1,995 undi, jauh mengatasi Rafee yang hanya meraih 736 undi.
Kemenangan itu disahkan oleh Pengerusi Jabatan Pemilihan PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, yang turut memuji kelancaran proses pemilihan.
Dalam pada itu, Pengarah Kempen Shamsul, Farhan Ibrahim, dalam satu kenyataan berkata, kemenangan itu mencerminkan kepercayaan dan sokongan padu anggota parti terhadap kepimpinan Shamsul.
“Datuk Seri Shamsul Iskandar merupakan seorang pemimpin yang tidak asing lagi dengan pengundi di Hang Tuah Jaya, kemenangan beliau ibarat sirih pulang ke gagang.
“Beliau (Shamsul) mempunyai pengalaman yang luas dalam arena politik,” katanya.
Namun, pemilihan kali ini turut menyaksikan kegagalan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, dalam perebutan jawatan Timbalan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya.
Adam hanya mampu meraih 791 undi, tewas kepada Zamzizul Nordin yang memperoleh 1,905 undi.
Pemilihan PKR 2025 berlangsung di pelbagai peringkat cabang negeri termasuk Selangor, Melaka dan Perlis dengan Hang Tuah Jaya menjadi salah satu medan persaingan sengit.








