PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin telah mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan pusat parti yang akan berlangsung bulan depan.
Menurut hantaran di Facebook, beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas 26 tahun perjalanan politiknya bersama PKR dengan sokongan penuh daripada pimpinan kanan parti.
“Saya yakin masa depan PKR cerah dan penuh harapan.
“Parti ini berpotensi untuk menjadi parti tunjang politik negara,” katanya.
Sim menawarkan tiga aspirasi utama sebagai memenuhi mandatnya sekiranya berjaya menjawat jawatan Naib Presiden PKR.
“Akan memastikan kemenangan sekurang-kurangnya 60 kerusi kritikal untuk memperkukuhkan kedudukan parti.
“Kedua, membantu misi Perdana Menteri dalam membasmi kemiskinan dan melonjakkan Malaysia ke status negara berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Terakhir, menubuhkan Biro Keahlian sepenuh masa untuk menangani isu keahlian dan memperkukuhkan perpaduan parti,” katanya.
Beliau juga menegaskan komitmennya terhadap idealisme Reformasi yang telah membawa kejayaan besar di Cabang Bayan Baru dengan kemenangan empat kali berturut-turut dalam pilihan raya.
“Saya melaksanakan idealisme ini di Cabang Bayan Baru, di mana kami berjaya memenangi empat kali pilihan raya berturut-turut, meraih kemenangan di semua kerusi Parlimen dan tiga kerusi DUN dengan majoriti yang semakin meningkat.
“Ini rekod paling cemerlang dalam parti,” ujarnya.
Untuk rekod, antara calon lain yang telah mengesahkan penyertaan untuk bertanding bagi jawatan Naib Presiden PKR ialah Nurul Izzah Anwar, Datuk Seri Amirudin Shari, Datuk Seri Aminudin Harun, Datuk M. Ramanan dan Nik Nazmi Nik Ahmad.