PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan bahawa Pemilihan PKR 2025 tidak akan menyebabkan sebarang rombakan Kabinet.
Beliau berkata, persaingan dalam pemilihan parti adalah antara rakan karib dan sekutu setia tanpa menjejaskan komposisi Jemaah Menteri.
“Ini pertandingan di antara sahabat karib dan kawan-kawan setia, tidak timbul sama sekali perubahan Jemaah Menteri,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar mengakui tidak akan menghalang mana-mana pemimpin yang berhasrat melepaskan jawatan dalam kerajaan susulan pemilihan berkenaan.
“Saya tidak tahu, tapi kita tidak boleh halang orang punya cita-cita (ingin lepaskan jawatan dalam Kabinet jika tewas pemilihan).
“Kalau tanya saya, tiada rencana sama sekali untuk buat apa-apa pun rombakan (Kabinet),” katanya dalam sesi taklimat bersama ketua pengarang media tempatan dan antarabangsa di Kompleks Seri Perdana, pada Rabu.
Kenyataan Anwar hadir selepas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menyatakan kesediaannya meletakkan jawatan dalam Kabinet sekiranya gagal mempertahankan kedudukan sebagai Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti yang bakal berlangsung bulan ini.