MOSCOW: Pemilikan limosin mewah Aurus Senat oleh KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim disifatkan sebagai satu penghormatan istimewa yang melambangkan persahabatan kukuh serta hubungan diplomatik erat antara Malaysia dan Persekutuan Rusia.
Model berprestij itu jarang dimiliki di luar Rusia kerana tidak dieksport secara meluas ke pasaran antarabangsa.
Aurus sendiri merupakan jenama rasmi kepimpinan tertinggi negara berkenaan dan sering digunakan oleh Presiden Rusia, TYT Vladimir V. Putin dalam acara rasmi serta majlis diplomatik penting.
Kenderaan tersebut terkenal dengan gabungan teknologi moden dan ciri keselamatan bertaraf tinggi, menjadikannya simbol status serta kepercayaan dalam hubungan antarabangsa.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan berangkat ke Muzium Garaj Khas di Moscow yang menempatkan lebih 50 koleksi unik kereta dan motosikal.
Baginda turut dipersembahkan taklimat mengenai koleksi yang dipamerkan sebelum majlis serahan rasmi limosin Aurus Senat milik Seri Paduka berlangsung di muzium berkenaan.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda ke muzium itu disambut oleh Timbalan Menteri Pertama Industri dan Perdagangan Persekutuan Rusia, Kirill Alekseevich Lysogorsky, Pengarah Muzium, Belikov AV serta Ketua Pegawai Eksekutif NAMI, Nazarov FL.








