PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan pemimpin ASEAN menyatakan rasa kagum terhadap kemampuan Malaysia menyalurkan bantuan tunai bernilai RM15 bilion kepada sembilan juta penerima di negara ini.
Beliau berkata, walaupun ada pihak dalam negara yang mempersoalkan tambahan i-SARA sebanyak RM100, hakikatnya jumlah keseluruhan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan i-SARA adalah besar berbanding negara serantau.
“Bila saya bincang dengan kawan-kawan di luar negara, terutama pemimpin ASEAN, mereka tanya macam mana Malaysia dengan 34 juta penduduk boleh salurkan RM15 bilion untuk rakyat.
“Kebanyakan mereka jawab, itu mustahil untuk mereka lakukan,” katanya di Program Madani Rakyat(PMR) di Baling, Kedah pada Sabtu.
Anwar turut memberi contoh, Perdana Menteri Vietnam baru-baru ini hanya mampu umumkan bantuan sekitar RM47 hingga RM50 seorang.
Katanya lagi, i-SARA diwujudkan sebagai tambahan untuk menampung keperluan rakyat, terutama ketika harga barangan masih belum stabil.
“Saya tahu harga barang masih tidak terkawal. Sebab itu i-SARA ini kita sediakan sebagai bantuan tambahan kepada rakyat,” katanya.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025, kerajaan mengumumkan pemberian sekali beri sebanyak RM100 kepada semua warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas di bawah program SARA, yang disalurkan terus melalui MyKad.
Inisiatif berkenaan memberi manfaat kepada 22 juta rakyat melibatkan tambahan RM2 bilion, menjadikan peruntukan keseluruhan bagi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA tahun ini mencecah RM15 bilion, tertinggi dalam sejarah bantuan tunai negara.
Baca juga: