Oleh: Aliyaa Azmi
PETALING JAYA: Ketua Penerangan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Noraini Nordin menegur tindakan sesetengah pemimpin parti yang menggunakan serangan peribadi sebagai strategi berkempen menjelang Pemilihan PKR 2025.
Beliau berkata, pendekatan sedemikian bukan sahaja tidak sihat tetapi juga tidak mencerminkan kematangan dalam berpolitik.
“Bagi saya, pemimpin yang matang tak akan serang peribadi. Kita nak kempen, kita lawan idea, bukan individu.
“Jangan rendahkan martabat diri dengan main serang peribadi,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit, hari ini.
Tanpa menyebut nama secara langsung, Noraini mengakui kenyataannya merujuk kepada Datuk Seri Rafizi Ramli yang sedang mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR dan didakwa menyindir secara halus pencabarnya dalam beberapa ucapan.
“Rafizi seorang pemimpin besar dalam parti. Ramai yang hormat dan kagumi dia.
“Tapi bila ada ucapan yang dilihat menjurus kepada sindiran atau serangan peribadi, itu tak elok. Orang luar sedang perhati cara kita berkempen,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut memuji pendekatan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang lebih menumpukan kepada usaha memperkukuhkan jentera parti.
“Saya tengok Nurul Izzah kekal tenang. Tak ada sentuh siapa-siapa pun.
“Dia (Izzah) fokus kerja, fokus gerak kerja parti. Itu contoh yang baik,” katanya lagi.
Kempen pemilihan PKR 2025 dijangka berlangsung berterusan sebelum Kongres Nasional Keadilan ke-19 yang dijadualkan pada 22 hingga 24 Mei ini.
Pertembungan antara Rafizi Ramli dan Nurul Izzah bagi jawatan nombor dua parti menjadi tumpuan utama, memandangkan kedua-duanya merupakan tokoh reformasi berpengaruh yang memiliki penyokong tersendiri.