Menteri, MB Ucap Doa Dan Penghargaan Kepada PM Sempena Ulang Tahun Kelahiran

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima limpahan ucapan tahniah, doa dan penghargaan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-78.

Ramai barisan pemimpin tertinggi negara termasuk Menteri Besar, Jemaah Menteri dan wakil kerajaan negeri, yang menzahirkan rasa hormat dan sokongan terhadap kepimpinan beliau.

Antara yang terawal menyampaikan ucapan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, yang mewakili seluruh warga jabatan tersebut.

“Saya mewakili seluruh warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengucapkan Selamat Menyambut Ulang Tahun Kelahiran ke-78 kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan Datuk Seri kesihatan yang berpanjangan, ketabahan yang teguh, kebijaksanaan yang mendalam serta keberkatan yang melimpah dalam memimpin negara ke arah Malaysia Madani yang sejahtera, harmoni, dan berdaya saing.

“Doa kami sentiasa mengiringi Perdana Menteri agar terus diberikan kekuatan dalam mengemudi kepimpinan negara demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan tanah air tercinta,” katanya.

Turut menzahirkan ucapan ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, yang menyampaikan ucapan bagi pihak kerajaan negeri dan seluruh rakyat Negeri Sembilan.

“Selamat Ulang Tahun Kelahiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Sembilan, saya dan seluruh warga negeri ini mengucapkan Selamat Ulang Tahun Kelahiran kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Moga Datuk Seri dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, dipermudahkan segala urusan, serta sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.

“Kami juga mendoakan agar Datuk Seri terus diberikan kekuatan untuk memimpin negara menuju kegemilangan Malaysia Madani,” katanya.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, turut menyampaikan ucapan penuh penghargaan dan doa.

“Selamat Ulang Tahun Kelahiran ke-78 diucapkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Terima kasih atas keteguhan, kesabaran dan kebijaksanaan mengemudi negara dalam membangun sebuah Malaysia yang Madani.

“Saya titip doa agar Datuk terus diberikan kesihatan yang baik, kekuatan untuk terus berjuang demi rakyat dan kekuatan dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Malaysia di mata dunia,” katanya.

Anda Mungkin Berminat