PETALING JAYA: Semua pihak termasuk pemimpin parti politik digesa berhenti mempolemikkan isu garis panduan penglibatan Muslim di dalam majlis sambutan bukan Islam yang sedang dibangunkan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi berkata, serahkan perkata itu kepada pihak berautoriti untuk membahaskannya secara ilmiah.
“Semua pihak harus hormati dan terbuka dengan garis panduan penglibatan orang Islam di dalam majlis sambutan perayaan atau upacara kematian orang bukan Islam yang sedang dibangunkan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
“Buat pemimpin-pemimpin parti politik pula terutamanya dikalangan bukan Islam termasuk DAP, MCA dan GERAKAN yang tampak begitu teruja untuk bersaing dalam mengeluarkan kenyataan, nasihat saya serahkanlah hal ehwal agama seperti ini kepada pihak berautoriti untuk membahaskannya secara ilmiah.
“Akhirnya, semua harus hormati kedudukan Majlis Raja-Raja Melayu yang berkuasa mutlak dalam menentukan apa jua hal yang berkaitan dengan hal-ehwal dan kepentingan Agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, tambah Asyraf Wajdi, garis panduan itu penting kepada umat Islam sebagai suatu asas yang menjadi parameter dan pedoman bagi memastikan adanya pencerahan mengenai batasan tertentu dalam apa jua bentuk amalan yang melibatkan perayaan dan ritual agama agar tidak sampai menjejaskan akidah yang menjadi teras keimanan seseorang.
Sebagai contoh, kata beliau, tiada masalah menghadiri upacara perayaan sesuatu agama sebagai manifestasi keharmonian hidup antara agama yang diamalkan selama ini.
“Namun, batasan menyertai ibadah ritual tertentu yang boleh menjejaskan akidah seseorang perlu dijadikan panduan untuk umat Islam,” katanya.
Tambah beliau, garis panduan itu juga harus dilihat sebagai suatu yang positif untuk bukan Islam supaya sensitiviti umat Islam terhadap satu-satu amalan ritual yang boleh menjejaskan akidah dapat difahami dan dihormati.
Dalam masa sama, ujarnya, garis panduan itu juga bukan bersifat peraturan atau perundangan kerana hanya sebagai pedoman dan pencerahan ilmu yang bermanfaat buat semua untuk memahami batasan dan sempadan dalam menyertai upacara perayaan dan ibadah agama lain.
“Justeru, tidak perlulah isu ini terus dipolemikkan kerana setiap warga Malaysia mesti teruskan budaya hormat-menghormati dan bertoleransi dalam mengamalkan agama dan budaya masing-masing yang selama ini menjadi teras kekuatan dan keunikan Malaysia sebagai negara majmuk,” katanya.