KOTA KINABALU: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa seorang pemimpin mesti sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan dan bukannya mengejar kekayaan peribadi.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Himpunan Temu Rapat Umum sempena 27 Tahun Reformasi bersama para penggerak Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah di Inanam.
“Jangan ada pemimpin yang tamak membolot kekayaan sehingga rakyat terbiar hidup melarat,” tegas Anwar dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyeru agar rakyat tidak lagi terperangkap dengan permainan sentimen perkauman dan perbezaan wilayah. Menurutnya, seluruh rakyat dari Perlis hingga Sabah adalah sebuah keluarga besar yang wajib hidup dalam suasana aman dan saling menghormati.
Beliau juga menyifatkan Inanam sebagai kubu teguh PKR di bawah kepimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Peto Galim. Justeru, gerak kerja parti perlu terus diperkukuh agar rakyat di kawasan tersebut tidak terabai.
“Jangan sekali-kali kita lalai daripada tanggungjawab yang telah diamanahkan,” ujar Anwar.
Sebagai Perdana Menteri, Anwar memberi jaminan bahawa kuasa yang dipegang akan digunakan untuk mengurus negara dengan penuh tanggungjawab, memperkukuh hubungan dengan negeri-negeri dan memastikan rakyat terbela.
Baca juga:








