MASA yang ditunggu peminat akhirnya tiba! Kumpulan nasyid popular Inteam bakal kembali menggegarkan pentas berskala besar selepas kejayaan luar biasa konsert Kasih Kekasih 25 Tahun Inteam di Idea Live Arena, Damansara Intan, pada 28 September lalu.
Kali ini, dengan kerjasama Icon Entertainment, Inteam akan membawa persembahan mereka ke pentas lebih besar, Axiata Arena, Bukit Jalil pada 1 Februari 2026, dengan sasaran menghimpunkan lebih 9,500 peminat dari seluruh negara.
Anggota Inteam, Muhammad Hazamin Harun, berkata kumpulannya berjanji untuk memberikan persembahan terbaik dan penuh makna buat semua yang hadir.
“Kami anggap konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi perjalanan penuh doa dan cinta bersama peminat yang setia sejak dua dekad lalu,” katanya.
Selain Hazamin, kumpulan yang sinonim dengan lagu-lagu ketuhanan dan cinta suci ini turut dianggotai oleh Mohd Syahril Abdul Khalid, Abdul Rahim Osman dan Hisyam Ahmad.
Konsert terdahulu, Kasih Kekasih 25 Tahun Inteam, mencetus fenomena apabila tiket habis dijual dan dewan dibanjiri peminat pelbagai generasi yang membesar dengan karya mereka.
Sesi jualan tiket untuk konsert baharu bertemakan Inteam Nur Kasih akan dibuka Jumaat ini, dengan harga bermula RM168 hingga RM488 melalui pautan rasmi www.ticket2u.com.my/InteamNurKasih.
Baca juga:








