Peminat minta KRU buat konsert lagi tahun depan

Oleh: Nadhirah Akmam

GELOMBANG permintaan peminat terhadap kumpulan legenda KRU terus memuncak apabila ramai meluahkan keinginan agar konsert berskala besar mereka diteruskan pada tahun hadapan.

Kebanyakan peminat membanjiri ruangan komen di media sosial dengan rayuan supaya KRU kembali ke pentas selepas kejayaan penganjuran konsert GenKRU The Finale One More Time baru-baru ini.

Sambutan luar biasa itu nyata masih belum memuaskan peminat setia kumpulan berkenaan.

Seorang pengguna media sosial, Ainasyiqueen17, meluahkan rasa teruja dan berharap KRU mempertimbangkan satu lagi konsert tahun depan.

“Kami nak lagi konsert KRU! Tahun depan harap ada lagi,” katanya di ruangan komen.

Seorang lagi peminat KRU, Nemosicomel, turut meminta konsert yang lebih panjang bagi menampilkan lebih banyak lagu popular KRU.

“Tahun depan tolong buat lagi dan kalau boleh biarlah 4 ke 5 jam nak dengar semua lagu KRU, artis jemputan Rabbani ‘on fire’ gitu memang terbaik laaa. #KRUforever,” tulisnya.

Pengguna media sosial, Farhanazairul turut mengulangi permintaan sama.

“Kami mahu lagi.. Tahun depan ada lagi tolong laa,” katanya ringkas namun penuh harapan.

Permintaan tidak putus-putus ini hadir susulan kejayaan siri konsert KRU yang mencetus fenomena, termasuk empat penganjuran sold-out di Axiata Arena sebelum ini. Kejayaan tersebut mengukuhkan kedudukan KRU sebagai antara kumpulan paling berpengaruh dalam industri muzik negara.

KRU sebelum ini pernah menyatakan penghargaan kepada peminat yang terus menyokong perjalanan seni mereka sejak lebih tiga dekad lalu, namun belum mengumumkan sebarang perancangan baharu untuk konsert pada tahun hadapan.

Fenomena yang tercetus ini membuktikan legasi KRU masih utuh, dan peminat pastinya menantikan sama ada permintaan mereka akan direalisasikan dalam masa terdekat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat