Peminat Vijay Kibar Bendera Malaysia di SNBJ, Ramai Kata Ini Baru ‘Malaysia Sejati’

Oleh: Aliyaa Azmi

KEHADIRAN pelakon terkenal India, Vijay Thalapathy, ke program Ramah Mesra bersama Peminat (meet & greet) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) baru-baru ini bukan saja disambut meriah, malah mencuri perhatian ramai kerana satu perkara.

Menerusi perkongsian pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim, kelihatan peminat berketurunan Tamil hadir sambil mengibarkan Bendera Malaysia, sekali gus mempamerkan semangat patriotik yang menyentuh hati.

“Walaupun mereka keturunan Tamil, bendera Malaysia tetap di hati. Mereka tahu asal-usul mereka, tetapi mereka adalah bangsa Malaysia,” tulisnya.

Menurut Zakaria, momen itu cukup membanggakan kerana tetamu yang diraikan merupakan pelakon dari India, namun peminat tempatan tetap menjadikan identiti sebagai rakyat Malaysia sebagai keutamaan.

“Tetamu diraikan, tapi mereka tetap bangga sebagai rakyat Malaysia. Inilah yang kita mahu,” katanya lagi.

Perkongsian itu mendapat reaksi positif netizen yang melihatnya sebagai gambaran perpaduan sebenar rakyat Malaysia, terutama ketika ada pihak cuba memainkan sentimen perkauman.

Malah, ada yang menyifatkan momen itu sebagai contoh terbaik bagaimana masyarakat berbilang kaum boleh bersatu tanpa mengira latar belakang, dengan satu identiti bersama Malaysia.

Untuk info, Vijay Thalapathy merupakan antara bintang filem India paling popular dan kehadirannya ke Malaysia sememangnya dinanti-nantikan peminat.

Ramai berharap lebih banyak acara seperti ini dapat dianjurkan kerana bukan saja menghiburkan, malah secara tidak langsung menyatukan rakyat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat