SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan mempercepatkan pelaksanaan pemindahan ladang ternakan babi di daerah Kuala Langat dan Sepang ke Bukit Tagar, Hulu Selangor, pada tahun ini, lebih awal daripada perancangan asal yang dijadualkan pada 2030.
EXCO Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim, berkata keputusan itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) serta sesi menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, selama kira-kira 45 minit pagi tadi.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri mengambil kira pandangan dan kebimbangan Sultan Selangor, selain menegaskan bahawa perkara tersebut selari dengan syor yang telah dikemukakan kerajaan negeri sebelum ini.
“Kerajaan Negeri menghormati pandangan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan perkara yang dibincangkan adalah seiring dengan cadangan kerajaan negeri,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, pada Isnin.

Izham berkata, projek pemindahan itu akan dilaksanakan sepenuhnya menerusi inisiatif sektor swasta tanpa melibatkan sebarang peruntukan kewangan daripada kerajaan negeri.
“Peranan Kerajaan Negeri hanyalah sebagai pemudah cara dan untuk mempercepatkan proses kelulusan. Tiada dana kerajaan negeri akan digunakan,” katanya.
Beliau memaklumkan, tiada lesen baharu penternakan babi akan dikeluarkan sehingga proses pemindahan selesai. Ketika ini, sebanyak 115 ladang ternakan babi masih beroperasi di Selangor melibatkan anggaran 100,000 ekor khinzir.
Menurut Izham, tapak baharu di Bukit Tagar meliputi kawasan seluas kira-kira 500 ekar dan akan menggunakan sistem ternakan tertutup, lengkap dengan zon penampan mencukupi serta kawalan alam sekitar bagi mengurus bau dan pelepasan kumbahan.
Beliau berkata, tapak ternakan sedia ada akan menjalani proses pemulihan tanah sebelum dibangunkan semula bagi kegunaan pertanian.
Penternak akan diberikan tempoh peralihan sebelum dipindahkan, namun hanya mereka yang mematuhi syarat ketat akan dibenarkan beroperasi di tapak baharu.
“Kita akan memastikan lokasi ternakan berada jauh dari kawasan penempatan penduduk dan mempunyai zon penampan mencukupi, bukan sahaja di sekeliling kawasan malah di antara ladang-ladang,” katanya.
Sebelum ini, pusat penternakan babi moden di Bukit Tagar dijangka hanya dapat beroperasi pada 2030 berikutan beberapa isu tertunggak termasuk proses pengambilan tanah.
Pada Sabtu lalu, Sultan Sharafuddin menzahirkan kekecewaan dan tidak bersetuju dengan perancangan membenarkan aktiviti penternakan babi di Tanjung Sepat sebelum pemindahan ke Bukit Tagar, selain menyuarakan kebimbangan terhadap pembangunan ladang ternakan babi berskala besar di kawasan majoriti Melayu-Islam.
Izham mengakui proses pemindahan berkenaan berkemungkinan berdepan tentangan, namun menegaskan langkah tegas perlu diambil bagi menyelesaikan isu berlarutan supaya tidak menjejaskan penduduk setempat.
Beliau turut menjelaskan bahawa isu penternakan babi di Kuala Langat merupakan masalah lama yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu dan tidak wajar dipolitikkan.
“Fokus Kerajaan Negeri adalah menyelesaikan isu alam sekitar termasuk pencemaran bau, air serta risiko penyakit, dan bukan menyekat keperluan makanan masyarakat bukan Islam. Kelestarian alam sekitar penting bagi memastikan keharmonian semua komuniti,” katanya.
Baca juga:








