Pemindahan Patung Di Kuil Berjalan Lancar, Hormati Saluran Perundangan – PDRM

RAWANG: Polis Kontinjen Selangor mengesahkan kerja-kerja pemindahan patung berhala di Kuil Sri Uchimalai Muniswarman, Taman Rawang Perdana, Gombak telah berlangsung dengan aman tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Menurut kenyataan rasmi Ketua Polis Selangor, kerja pemindahan bermula pada 24 Februari 2026 pukul 9.30 malam dan selesai pada 25 Februari 2026 pukul 4.12 pagi.

Seramai 10 orang penganut bersama wakil pengurusan kuil terlibat dalam usaha memindahkan kesemua empat patung berhala.

Pihak pemilik tanah turut memulakan kerja pembersihan tapak kuil sebaik sahaja proses pemindahan selesai.

Sepanjang operasi tersebut, keadaan dipantau rapi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan ketenteraman awam terpelihara.

“Sepanjang proses tersebut berlangsung tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku serta keadaan dipantau oleh pihak PDRM,” jelas kenyataan itu.

Ketua Polis Selangor, CP Datuk Shazeli Datuk Kahar menegaskan agar semua pihak terus menghormati saluran perundangan dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh menjejaskan keharmonian kaum serta agama.

“PDRM mengingatkan semua pihak yang terlibat supaya terus menghormati saluran perundangan yang sedia ada dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh menggugat keharmonian kaum serta agama.

“Sebarang pertikaian hendaklah diselesaikan mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan pemilik tanah yang sah,” katanya.

Beliau turut memberi amaran keras terhadap penyebaran kandungan berbaur 3R (Agama, Bangsa, Diraja) di media sosial yang berpotensi mencetuskan kegusaran awam.

Anda Mungkin Berminat