PARLIMEN | Kerajaan Madani menegaskan bahawa langkah memisahkan kuasa antara Peguam Negara (AGC) dan Pendakwa Raya bukan sekadar retorik politik, sebaliknya satu usaha reformasi institusi yang serius dan inklusif demi memperkukuh sistem keadilan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk melibatkan semua pihak termasuk kerajaan, pembangkang, badan kehakiman, pengamal undang-undang dan masyarakat sivil dalam pembentukan dasar negara yang lebih telus dan berintegriti.
“Ia juga menjadi sebahagian daripada komitmen yang telah digariskan dalam Peta Reformasi Institusi (PETARI) yang boleh diakses oleh semua rakyat secara terbuka,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Azalina memaklumkan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) akan dibentangkan pada tahun hadapan sebagai langkah pertama ke arah pemisahan kuasa secara rasmi antara fungsi nasihat undang-undang kerajaan dan pendakwaan jenayah.
“Ini adalah pindaan Perlembagaan yang sangat penting kerana ia akan mewujudkan kerangka undang-undang yang memisahkan secara rasmi fungsi nasihat undang-undang kerajaan (oleh Peguam Negara) dan fungsi pendakwaan jenayah (oleh Pendakwa Raya) dan juga peruntukan peralihan,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, pindaan Perlembagaan itu akan menjadi punca kuasa atau ‘enabler provision’ yang sah dari segi undang-undang untuk melaksanakan pemisahan peranan tersebut.
Selepas itu, dua lagi RUU akan menyusul iaitu Rang Undang-Undang Saraan dan Rang Undang-Undang Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya).
Menurut Azalina, pada 10 September 2025, Jemaah Menteri telah membuat keputusan dasar penting untuk menerima pakai model pengasingan penuh, di mana jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dipegang oleh dua individu berbeza dengan kedudukan yang setara.
“Pada peringkat awal, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk mewujudkan Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif yang dipengerusikan oleh saya sendiri, telah menjalankan kajian empirikal terhadap tiga negara iaitu Kanada, Australia dan United Kingdom.
“Kajian empirikal ini juga melibatkan wakil Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, Jawatankuasa Semakan Undang-Undang, Majlis Peguam, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU, JPM),” kata Azalina.








