MELAKA: Pempengaruh TikTok lelaki, Muhammad Hakim Noraji, yang dikenali dengan persona atas talian sebagai Melinda B, didenda RM1,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Melaka selepas mengaku bersalah berpakaian dan berlagak seperti wanita di tempat awam.
Hakim Syarie Mohammad Nor Azam Abdullah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan berasingan berkait tindakan beliau berpakaian seperti perempuan ketika membuat siaran langsung di TikTok.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di kawasan sekitar Bangunan A Famosa dan hadapan Bangunan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Banda Hilir, antara pukul 12 tengah malam hingga 3 pagi pada 10 Jun lalu.
Menurut pihak pendakwaan, semasa ditahan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), beliau mengenakan ‘blouse’ berwarna ungu, rambut palsu bersanggul, anting-anting dan kasut wanita.
Tindakan itu disifatkan sebagai melanggar Seksyen 72 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan bagi setiap pertuduhan.
“Memakai pakaian perempuan dan berkelakuan seperti perempuan di tempat awam tanpa alasan munasabah,” kata pihak pendakwaan dalam pertuduhan rasmi.
Tertuduh didenda RM850 untuk pertuduhan pertama dan RM950 bagi pertuduhan kedua.
Beliau membayar keseluruhan jumlah denda di mahkamah pada hari sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Ahmad Faizul Ashar manakala tertuduh hadir tanpa peguam.
Kes ini mencetuskan reaksi pelbagai daripada masyarakat.