PETALING JAYA: Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) mencadangkan kerajaan melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap skim subsidi minyak masak bersubsidi 1 kilogram (kg) yang didakwa mengalami ketirisan besar, penyeludupan rentas sempadan serta ketidakcekapan sistemik.
Menurut Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faris Ariffin, walaupun di atas kertas harga subsidi minyak masak ditetapkan pada RM2.50 per kilogram bagi meringankan beban rakyat, realitinya skim ini telah menjadi sumber keuntungan mudah bagi sindiket penyeludupan.
“Di sempadan Golok, satu paket dijual pada harga RM6 hingga RM7, dianggarkan menghasilkan margin untung sehingga 180 peratus.
“Sementara itu, rakyat Malaysia yang memerlukan hanya dibenarkan beli satu atau dua bungkus jika masih ada stok di rak,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mendedahkan bahawa sepanjang tahun 2024 sahaja, kerajaan telah membelanjakan hampir RM1.945 bilion menerusi Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOss).
Namun begitu, katanya, lebih 2,500 kes penyeludupan telah direkodkan termasuk rampasan besar sebanyak 7,735 kg minyak masak di Kelantan dan 425 kg di Sandakan.
Lebih membimbangkan, Faris berkata, subsidi tersebut diberikan secara menyeluruh yang membolehkan sesiapa sahaja termasuk golongan bukan B40 menikmati manfaatnya.
“Kajian subsidi bahan api sebelum ini mendedahkan bahawa 35 peratus daripada perbelanjaan subsidi dinikmati oleh golongan T20, manakala hanya 24 peratus sampai kepada golongan B40,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan menggantikan subsidi berbentuk barang kepada ‘Pemindahan Tunai Terus’ (Direct Cash Transfer) secara berfasa bagi memastikan bantuan disalurkan tepat kepada golongan B40 menggunakan pangkalan data kerajaan yang sedia ada.
Menurutnya lagi, model seperti ini telah terbukti berkesan di peringkat antarabangsa.
Sebagai contoh, katanya, Jordan memperluaskan program tunai bersatunya daripada 97,000 kepada 220,000 isi rumah dan mengurangkan kadar kemiskinan sebanyak 1.4 mata peratus.
Sementara itu, Indonesia melaporkan peningkatan kehadiran sekolah dan tahap kesihatan apabila bantuan diberikan dalam bentuk tunai bersyarat.
Malaysia juga telah menerapkan pendekatan ini melalui ‘Program Sumbangan Asas Rahmah’ (SARA) yang memberikan manfaat kepada 4.1 juta isi rumah B40 dengan bantuan RM100 sebulan yang terus dikreditkan ke akaun MyKad penerima.
Faris menegaskan bahawa pendekatan subsidi tunai adalah lebih telus dan berkesan serta berpotensi menjimatkan ratusan juta ringgit setahun yang boleh disalurkan semula kepada kebajikan rakyat secara lebih mampan.
“Subsidi bukan sekadar soal fiskal. Ia adalah soal maruah rakyat, kecekapan negara, dan keadilan sosial.
“Kita mesti pastikan setiap ringgit sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan, bukan ke poket penyeludup,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa sudah tiba masanya untuk Malaysia menaik taraf sistem penyampaian subsidi dengan beralih daripada model ‘blanket’ kepada subsidi tunai bersasar serta daripada ketirisan kepada keberkesanan.








