Pemuda AMANAH Kecam Tindakan AS Tangkap Presiden Venezuela

KUALA LUMPUR: Pemuda AMANAH Nasional tampil mengecam keras tindakan tentera Amerika Syarikat (AS) yang melancarkan serangan berskala besar di Caracas sehingga membawa kepada penangkapan dan pemindahan paksa Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, ke wilayah Amerika Syarikat pada Sabtu.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Exco Pemuda AMANAH Nasional, Sheikh Khuzaifah Sheik Abu Bakar menyifatkan tindakan unilateral tersebut sebagai pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan kedaulatan negara berdaulat.

“Tindakan ketenteraan unilateral yang diarahkan oleh Presiden Donald Trump ini merupakan satu pencabulan nyata terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kedaulatan sesebuah negara berdaulat.

“Sebarang pertikaian undang-undang atau tuduhan jenayah terhadap mana-mana pemimpin negara seharusnya diselesaikan melalui mekanisme mahkamah antarabangsa yang diiktiraf, bukannya melalui pencerobohan fizikal dan penculikan politik,” tegas kenyataan itu.

Pemuda AMANAH turut memberi amaran bahawa operasi ketenteraan tersebut bukan sahaja menggugat kestabilan rantau Amerika Latin, malah mencipta duluan berbahaya dalam hubungan antarabangsa.

“Tindakan ‘diplomasi koboi’ ini menghantar isyarat bahawa kekuatan ketenteraan boleh mengatasi lunas undang-undang antarabangsa (Rule of Law),” katanya.

Kenyataan itu juga menzahirkan kebimbangan terhadap laporan letupan di kawasan penempatan awam di Caracas yang dilaporkan telah meragut nyawa dan menimbulkan ketakutan dalam kalangan rakyat.

“Kami menuntut agar ‘bukti hayat’ (proof of life) diberikan segera dan hak asasi kemanusiaan bagi Presiden Maduro serta isteri beliau, Cilia Flores, dihormati mengikut konvensyen antarabangsa,” tambah kenyataan tersebut.

Sebagai wadah politik yang memperjuangkan Islam Progresif dan keamanan, Pemuda AMANAH menggesa Kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra untuk menyatakan bantahan rasmi terhadap pencerobohan ini di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk mendesak pengunduran segera tentera asing dari bumi Venezuela bagi mengelakkan pertumpahan darah yang lebih besar.

“Pemuda AMANAH Nasional berdiri teguh bersama prinsip keadilan sejagat dan menolak sebarang bentuk imperialisme moden yang mengancam keharmonian dunia,” katanya.

Anda Mungkin Berminat