PETALING JAYA: Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Danial Al-Rashid, tampil mempertahankan komuniti peminat motosikal klasik RXZ selepas pimpinan DAP Melaka melabelkan mereka sebagai ‘gangguan ketenteraman dan keselamatan awam’.
Dalam satu kenyataan, beliau menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak adil dan bersifat stereotaip terhadap anak muda yang menjadikan RXZ sebagai identiti serta hobi.
“Kenyataan sedemikian adalah sangat memalukan, bersifat stereotaip dan jelas menunjukkan kegagalan memahami minat serta budaya anak muda hari ini.
“Tidak semua peminat motosikal klasik RXZ adalah samseng jalanan atau pembuat onar.
“Ramai dalam kalangan mereka ialah pekerja, usahawan, mekanik, malah anak muda yang menjadikan RXZ sebagai identiti, hobi dan seni warisan automotif tempatan,” katanya.
Danial yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, turut menjemput komuniti RXZ Members dari seluruh negara untuk hadir ke Shah Alam sebagai simbol meraikan minat anak muda tanpa prejudis.
“Saya ingin menjemput RXZ Members dari seluruh negara untuk datang ke Shah Alam.
“Di sini, kita meraikan minat anak muda, bukan dengan prejudis dan tuduhan melulu.
“Apa yang penting ialah penguatkuasaan berhemah, dialog terbuka, dan pendekatan mendidik bukannya menghasut kebencian terhadap satu komuniti hanya kerana minat mereka berbeza,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa sebarang isu berkaitan perlumbaan haram atau pelanggaran undang-undang perlu ditangani secara individu, bukan dengan menghukum keseluruhan komuniti.
“Jika ada isu melibatkan perlumbaan haram atau pelanggaran undang-undang, ambil tindakan terhadap individu, bukan menghukum keseluruhan komuniti. Itulah asas keadilan,” ujarnya.
Danial turut berkata, anak muda bukanlah masalah, sebaliknya sikap prejudis terhadap mereka yang harus ditolak.
“Anak muda bukan masalah. Sikap jumud dan prejudis itulah masalah sebenar,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, menyuarakan bantahan terhadap acara RXZ Members Ride 3.0 yang berlangsung di Dataran MITC, Melaka pada 12 dan 13 Disember lalu.
Beliau mendakwa program itu memberi kesan serius terhadap rutin harian penduduk, ketenteraman awam dan keselamatan jalan raya.








