Pemuda Amanah seru semua pihak banteras ideologi ekstremis sebelum berkembang dalam negara

Pemuda Amanah Nasional menyeru semua pihak, terutamanya pihak berkuasa dan masyarakat umum, untuk bersatu dalam menangani dan membanteras ideologi ekstremis agar tidak terus berkembang dalam negara.

Pengarah Strategi Pemuda Amanah Nasional, Sheikh Khuzaifah Sheikh Abu Bakar menegaskan bahawa kumpulan ekstremis ini menganggap perbuatan membunuh sebagai wajar dalam usaha menegakkan negara Islam mengikut fahaman mereka, meskipun ia merupakan dosa besar di sisi agama

“Kumpulan ini menggunakan isu akidah untuk mencapai objektif politik mereka, bermula dengan amalan takfir dan akhirnya sampai pada tahap di mana mereka merasakan tindakan membunuh adalah halal.

“Langkah-langkah pencegahan dan pemantauan yang lebih ketat perlu diambil bagi memastikan ideologi berbahaya ini tidak berakar umbi dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sheikh turut menyatakan ketaksuban dan fahaman ekstrem semakin berkembang dengan menarik individu yang jahil tentang agama dan politik untuk menanamkan fikrah ghuluw (ekstrem) dan menyebarkan ideologi sesat hingga merosakkan masyarakat.

Dia berkata demikian susulan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang mengakibatkan dua anggota polis terkorban dan seorang lagi cedera.

“Tindakan ini merupakan manifestasi sikap ekstrem yang berpunca daripada tafsiran salah terhadap nas agama,” tambahnya.

Dalam pada itu, Pemuda Amanah mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pelaku serangan tersebut.

Pemuda Amanah turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mencegah penyebaran ideologi ekstrem dan memastikan keamanan serta keharmonian negara terus terpelihara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat